Kitaran Hidrologi
Proses kitaran hidrologi merupakan satu proses yang tiada titik permulaan dan pengakhirannya. Dalam rajah kitaran hidrologi diatas, air di lautan, atmosfera dan kawasan daratan sentiasa mengalami pertukaran fizikal dan ruang. Pancaran cahaya matahari menyebabkan pemanasan berlaku pada permukaan yang menerima tenaga suria dan ini akan menyebabkan berlakunya sejatan. Sejatan merupakan satu proses dimana berlakunya pertukaran bentuk air, iaitu cecair kepada wap dan dilepaskan ke ruang udara. Sejatan keatas permukaan dari daratan mahupun lautan bersama sejatpeluhan dari tumbuh-tumbuhan membekalkan banyak wap air ke atmosfera. Sementara proses pemeluwapan yang berlaku di lapisan atmosfera akan menyebabkan pembentukan awan. Awan yang mengalami pemeluwapan akan membesar dan apabila sampai pada takat embun, ia akan jatuh sebagai kerpasan ke lantai bumi samada di daratan mahupun kembali semula ke lautan dalam pelbagai bentuk samada dalam bentuk hujan, hujan batu atau salji. Tidak semua air hujan yang jatuh menimpa lantai bumi akan mengalir sebagai air larian permukaan yang mengalir terus ke sungai mahupun lautan, malah ada juga sebahagian daripadanya akan meresap masuk ke dalam struktur tanah sebagai air bawah tanah yang kemudiannya akan masuk ke dalam laut dan akan disejat semula.